Sunday, March 1, 2009

Allah bersama mereka yang benar InsyaAllah

Di bawah ini aku sertakan berita pengalaman aku ketika berada di UKM. Ada pahit dan manis kisah di UKM.

Tetapi ingatlah ketika mereka ingat merosakkan niat kita, ingin menghamburkan fitnah pada kita, ingin membuang kita sesuka hati kerana hati mereka tidak redha Islam yang haq berdiri sepenuhnya di bumi Allah. Tetapi kuasa Ilah Maha Besar, Allah Maha Merancang..tetapi kami semua masih disini, masih tinggal di kolej masing-masing, masih menuntut ilmu dan masih lagi terus dan akan terus berjuang atas landasan masing-masing. Allah bersama kita semua insyaAllah.

Salah seorang penyair bermadah:

وظلم ذوي القربي اشد مضاضة علي المرء منوقع الحسام المهند

"Penganiayaan oleh kaum kerabat

lebih berbisa dirasakan,

oleh seseorang,

dari tusukan pedang waja India."

Fri | Jun 20, 08 | 10:56:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Hampir empat bulan sejak 4 Mac lalu, pihak pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Hal Ehwal Pelajar dan juga pihak keselamatan UKM yang dikenali sebagai Wisma Aman masih bersikap berdiam diri dalam kes rampasan komputer riba milik seorang mahasiswa, Ammar Khalis Ishak dan juga (seorang sahabat aku, nama terpaksa dipadamkan disini) yang dibuang kolej.

Menurut sumber, beberapa pertemuan serta permintaan surat tunjuk sebab telah dilaksanakan antara mahasiswa terbabit dengan pihak bertanggung jawab tetapi sehingga kini tiada jalan penyelesaian konkrit diambil oleh pihak pentadbir universiti.

"Lebih mendukacitakan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UKM, Prof Dato' Dr Wahid Shamsuddin gagal untuk menunaikan janji beliau dalam dalam satu pertemuan pada 24 April lalu yang ingin memberikan komputer riba baru kepada Ammar Khalis," katanya.

Malah, ada sesetengah dakwaan menyatakan bahawa TNC HEPA tersebut merupakan dalang yang bertanggung jawab membatalkan kunjungan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak ke UKM pada Majlis Makan Malam Darul Aman anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Kedah April lalu.

"Malah Wahid juga dipercayai menjadi tangan kotor dalam percaturan memenangkan calon pro Aspirasi dalam Pilihan raya Kampus di UKM sebelum ini," tambahnya.

Setiausaha Kordinator Jawatankuasa Keselamatan bagi menangani isu ini, Hazman Ali berkata Wahid yang sepatutnya bersikap profesional telah bersikap munafik dan lidah bercabang dalam isu ini.

"Sudah lima kali rundingan dibuat antara beliau dan mahasiswa terbabit tetapi beliau hanya bersikap bermain politik dengan mahasiswa dan sentiasa memutar-belitkan kenyataan berkaitan isu rampasan laptop itu.

"Sememangnya kami sudah serik berurusan dengan TNC HEPA yang jelas banyak bermain wayang dengan kami. Justeru, kami sudah menghantar surat kepada Naib Canselor UKM yang ketika ini berada di luar negara untuk menyelesaikan isu ini apabila beliau pulang ke Malaysia pada 20 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily.

Tegasnya, setelah pelbagai usaha diplomasi dengan pihak pentadbiran UKM dilaksanakan, ia boleh dianggap sebagai jalan terakhir dalam mencari penyelesaian daripada Naib Canselor yang merupakan bekas aktivis hak asasi wanita itu.

Tindakan diplomasi diambil atas nasihat dan juga bantuan guaman daripada beberapa peguam dan juga tokoh-tokoh politik yang bersimpati.

"Kami amat berharap agar isu rampasan laptop dan pembuangan kolej ke atas pelajar terbabit dapat diselesaikan dengan baik dan tidak memalukan nama UKM itu sendiri. Jika perkara ini masih tiada jalan penyelesaian, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke pengetahuan masyarakat dan menuntut hak keadilan di mahkamah" ujarnya.

Menurutnya lagi, isu rampasan laptop tersebut jelas berpihak kepada mangsa berdasarkan peruntukan Seksyen 51 dan Seksyen 113 (1)(a)(i) Kanun Acara Jenayah berkaitan dengan prosedur rampasan laptop yang salah di sisi undang-undang dan juga Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan yang melarang pengambilan harta secara rampasan tanpa ada sebab undang-undang.

Pada masa sama jelasnya, isu melibatkan pembuangan kolej turut berpihak kepada mahasiswa terbabit kerana ia bertentangan dengan Seksyen 16(C)(4) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang menyatakan perlunya ada prosiding sebelum sesuatu keputusan dibuat.

"Dalam kes ini, jelas pihak Pengurus Kolej Pendeta Zaba tidak menggunakan undang-undang yang diperuntukkan sebaliknya menghina undang-undang dengan mengambil peraturan rimba (jungle laws) untuk terus membuang pelajar tersebut daripada kolej," ujarnya.

Justeru, pihaknya akan berusaha memastikan isu tersebut diselesaikan segara agar hak mahasiswa tersebut dikembalikan semula.

"Janganlah berlaku pendiskriminasian terhadap pelajar kerana sekiranya kes ini berlaku ke atas pihak Aspirasi, pasti ia akan diselesaikan segera," katanya.

Mengenai isu rampasan laptop dan juga pembuangan pelajar, satu salinan laporan polis telah dihantar kepada pejabat Naib Canselor UKM pada 13 Jun lalu. - mns_

penyelesaiannya----> Aku berjaya mendapatkan semula hak milik aku, walau dinafikan oleh pihak terbabit. nama penuh aku diselewengkan untuk keselamatan peribadi. hanya aku terkilan sedikit apabila pihak yang mula-mula merampas laptop aku bersikap diam diri, tidak mengapalah aku maafkan mereka. Syukran aku ucapkan seluruh sahabat-sahabat yang membantu, bersama ketika kami berdukacita.

pertama-pertama ingin aku sampaikan adalah kita jangan takut kalau kita di pihak benar. teruskan berjuang mujahid-mujahid sekalian!!!takbir!!

sumber harakahdaily


No comments:

Post a Comment